
PROGRAM SENTUHAN KASIH MADANI PERKASA PENGAMAL MEDIA SEBAGAI PEMANGKIN PENYEBARAN MAKLUMAT
Hits: 40
𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐒𝐄𝐍𝐓𝐔𝐇𝐀𝐍 𝐊𝐀𝐒𝐈𝐇 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐀𝐌𝐀𝐋 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀 𝐒𝐄𝐁𝐀𝐆𝐀𝐈 𝐏𝐄𝐌𝐀𝐍𝐆𝐊𝐈𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐄𝐁𝐀𝐑𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐊𝐋𝐔𝐌𝐀𝐓
𝟐𝟕 - 𝟐𝟖 𝐅𝐞𝐛𝐫𝐮𝐚𝐫𝐢 𝟐𝟎𝟐𝟓 | 𝐑𝐚𝐛𝐮 - 𝐉𝐮𝐦𝐚𝐚𝐭 | 𝐈𝐧𝐬𝐭𝐢𝐭𝐮𝐭 𝐊𝐞𝐧𝐞𝐠𝐚𝐫𝐚𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 (𝐈𝐊𝐏), 𝐊𝐮𝐚𝐥𝐚 𝐋𝐮𝐦𝐩𝐮𝐫
Kuala Lumpur, 28 Februari 2025 – Program Sentuhan Kasih MADANI telah berlangsung dari 26 hingga 28 Februari 2025 di Institut Kenegaraan Perdana (IKP), Kuala Lumpur. Program ini menghimpunkan pengamal media dari agensi kerajaan bersama pembicara jemputan dengan matlamat memperkasa peranan mereka sebagai pemangkin penyebaran dasar kerajaan serta nilai-nilai Malaysia MADANI melalui komunikasi berkesan, pelaporan beretika, dan inisiatif kemasyarakatan.
Kemuncak program berlangsung pada malam 27 Februari 2025 dengan Sesi Khas Bual Bicara bersama Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Dalam sesi tersebut, Perdana Menteri menekankan kepentingan menyampaikan mesej yang tepat dan jelas kepada rakyat. Beliau turut menggariskan cabaran dalam menangani pertikaian maklumat serta kepentingan mencari solusi terbaik bagi memastikan berita dan maklumat disebarkan secara bertanggungjawab.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif program, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) turut mengisi slot bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membolehkan peserta memahami peranan dan tanggungjawab mereka dalam penggunaan media sosial dalam melaksanakan tugasan. Usaha ini selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI yang menekankan keterbukaan, integriti, dan kebersamaan dalam pembinaan negara bangsa.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Dato’ Dr. Haji Roslan bin Hussin. Dalam ucapan penutupnya, beliau menegaskan bahawa dalam dunia yang semakin mencabar, peranan media bukan sekadar sebagai penyampai berita, tetapi juga sebagai pemangkin pemikiran masyarakat ke arah pembentukan negara yang lebih maju dan berintegriti.