PROGRAM SATELIT KHAS: KENDURI RAKYAT MADANI
Diterbitkan pada : 08 March 2026
𝟖 𝐌𝐀𝐂 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐀𝐇𝐀𝐃 | 𝐏𝐄𝐑𝐌𝐀𝐓𝐀𝐍𝐆 𝐏𝐀𝐒𝐈𝐑
Suasana penuh keberkatan menyelubungi Masjid Al-Falah Pengkalan Tambang hari ini sempena berlangsungnya Program Satelit Khas: Kenduri Rakyat Madani.
Majlis yang penuh bermakna ini telah dirasmikan oleh YB Dato' Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, yang hadir bagi menyantuni rakyat serta mengukuhkan lagi semangat kebersamaan antara pimpinan dan masyarakat setempat.
Kehadiran pelbagai lapisan institusi pendidikan dan agensi kerajaan menjadikan program ini sebagai satu manifestasi sinergi yang luar biasa.
Antara yang turut memeriahkan majlis termasuklah wakil daripada IPG Kampus Tuanku Bainun, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, ADTEC Kepala Batas, dan IKTBN Bukit Mertajam.
Kekuatan sokongan ini turut diperkukuh dengan kehadiran agensi-agensi penting seperti YADIM, Zakat Pulau Pinang, Jabatan Penerangan, serta sokongan padu daripada pengerusi-pengerusi MPKK, JPKK, dan komuniti setempat serta agensi agensi yang lain hadir memenuhi ruang perkarangan masjid. Program ini turut dihadiri oleh YBrs. Tuan Mohd Khailani bin Ismail, Pengarah Bahagian Kepimpinan Strategik Akademi Kenegaraan Malaysia, YBrs. Tuan Mohd Termizi Bin Hj. Mat Bunor @ Mohamed Nadzri, Pengarah AKM Negeri Pulau Pinang dan beberapa ketua agensi kerajaan dan NGO Negeri Pulau Pinang.
Program bermula seawal sesi pendaftaran yang kemudiannya diserikan dengan inisiatif Jualan Rahmah bagi membantu meringankan beban kos sara hidup warga setempat.
Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian yang menekankan nilai-nilai murni dalam pembangunan masyarakat, disusuli dengan detik menyentuh hati melalui penyerahan sumbangan zakat kepada golongan asnaf fakir dan miskin sebagai tanda keprihatinan sosial yang berterusan.
Bagi menyuntik elemen keceriaan dan ilmu, sesi interaktif kenegaraan melalui Aplikasi Kahoot telah dijalankan, diikuti dengan forum keagamaan berilmiah yang dikendalikan oleh pihak YADIM untuk membincangkan isu-isu pengukuhan sahsiah diri bersempena Bulan Ramadan.
Kemuncak program menyaksikan ukhuwah terjalin erat apabila seramai kira-kira 1,000 orang hadirin dan hadirat berkumpul untuk menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan secara berjemaah.
Semoga usaha murni di Masjid Al-Falah ini diberkati dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak program komuniti yang menyatukan hati kita semua.
