Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri diberi tanggungjawab oleh kerajaan sebagai agensi pusat untuk menerajui latihan kenegaraan ke arah pembinaan negara bangsa. AKM berfungsi sebagai medium untuk memperkasakan latihan kenegaraan bagi meningkatkan kefahaman serta memastikan rakyat Malaysia mempunyai semangat patriotik yang tinggi.
AKM diberi mandat sebagai agensi yang mengkoordinasi hal ehwal latihan kenegaraan merentasi lima (5) kumpulan sasar, iaitu: Kepimpinan Negara; Eksekutif (Penjawat Awam, Korporat dan Badan Berkanun); Belia dan Institusi Pendidikan (Belia, Remaja TVET dan Mahasiswa); Golongan Komuniti (Komuniti Bandar, Desa dan Peneroka); dan Pengamal Media Digital.
Bermula pada April 2024, AKM melaksanakan Program Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI yang melibatkan lima (5) kumpulan sasar tersebut. Modul komprehensif dibangunkan dengan memberi penekanan terhadap elemen Sejarah Kenegaraan, Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Konsep Malaysia MADANI. Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan bagi mewujudkan sebuah negara yang lebih maju dan makmur melalui pemupukan nilai-nilai murni bagi memperkukuh identiti nasional dan semangat patriotik.